5 Teknik Sendawakan Bayi Yang Ibu Patut Tahu

Teknik sendawakan bayi atau burping amat penting untuk dilakukan oleh ibu bapa. Ini untuk mengelakkan bayi kembung perut atau colic iaitu, apabila sejumlah udara masuk ke dalam badan bayi semasa minum atau menangis.

Kembung perut boleh berlaku daripada beberapa faktor. Antaranya ialah ketika penggunaan botol susu. Bayi akan cenderung untuk menghisap angin apabila susu sudah habis. Oleh itu, ibu bapa harus peka ketika anak sedang menyusu. Selain itu, pemakanan ibu yang menyusukan anak juga boleh mengundang kembung perut. Apabila berlaku kembung perut, bayi akan mula menangis dan bahaya menangis terlalu lama boleh mengundang risiko sawan tangis. Nau’zubillah.

APABILA BAYI KEMBUNG PERUT :

•Sapu minyak di betis, perut, tapak kaki dan tapak tangan bayi

•Sendawakan bayi setiap kali selepas menyusu

1. Bersandar pada bahu

Dukung bayi menggunakan sebelah tangan dan meletakkan kepala bayi bersandar pada bahu.

Tepuk belakangnya perlahan-lahan dengan sebelah tangan lagi sehingga bayi sendawa.

Posisi ini dilakukan secara berdiri atau duduk di kerusi.

Bagi mungkin akan jeluak atau termuntah susu, jadi jangan lupa alas bahu dengan sapu tangan kecil.

2. Duduk posisi tepi atas riba

Bayi duduk secara posisi tepi atas riba dan tepuk lembut bahagian belakangnya.

Bayi duduk di salah satu paha anda dengan membongkokkan sedikit badan bayi.

Sebelah tangan, tinggikan kepala dan leher bayi namun hati-hati memegang bahagian dadanya kerana mungkin akan membuatkan bayi muntah jika tersalah pegang.

Kemudian sebelah tangan lagi untuk usap belakang bayi perlahan-lahan. Cara ini dikatakan bayi mudah sendawa.

3. Kedudukan perut cara meniarap

Pegang dan baringkan bayi secara meniarap atas perutnya dengan posisi melintang dengan kedudukannya atas paha.

Pegang bahagian dada bayi dengan sebelah tangan.

Pastikan kedudukan kepala bayi sedikit tinggi daripada badannya.

Sebelah tangan lagi, perlahan-lahan menepuk belakang bayi atau urut pun boleh dalam cara usap naik dan turun.

4. Bayi duduk

Pegang bayi dan ribanya dalam posisi duduk menghadap ke depan.

Semasa bayi di pangkuan, pegang bahagian dadanya supaya mudah untuk menggerakkan paha perlahan-lahan.

Gerakkan ini akan membuatkan bayi sendawa sendiri.

Jika masih belum berjaya, usap dengan sebelah tangan bahagian belakang bayi.

5. Dukung bayi

Hanya perlu dukung bayi dan goyang-goyangkan badan kita kanan ke kiri akan membuatkan bayi sendawa sendiri.

Sambil itu, boleh usap bahagian belakang bayi dengan berjalan-jalan di sekitar rumah.

Secara peribadi, Illa dah gunakan semua teknik di atas dan Alhamdulillah, semua pun menjadi. Cuma perlu rajin mencuba, kalau tak jadi teknik 1 cuba pula teknik 2 atau 3.

Semua bergantung pada umur juga. Semasa dalam berpantang (1 -2 bulan), lebih senang menggunakan teknik 1 dan 3. Sekarang Aisyah lebih senang sendawa dengan teknik 1 dan 4. Kadang-kadang bergantung kepada saiz bayi juga.

Kalau bayi yang bersaiz kecil, terpulang kepada ibu bapa nak cuba teknik mana asalkan yakin bila pegang dia, takde rasa gayat-gayat ke ape. Apa yang paling penting ketika proses ini ialah KESABARAN ye. Ada sesetengah bayi akan mengambil masa yang lama untuk ‘membuang angin’.

Selamat Mencuba !

Leave a Reply

CommentLuv badge