Kehamilan

Air Selusuh Akar Fatimah : Menyingkap Rahsia Di Sebalik Keberkesanannya

Ok, mesti ada di kalangan bakal ibu-ibu muda di luar sana masih belum memahami atau pernah mendengar istilah air selusuh. Antara yang paling popular ialah air selusuh rendaman Akar Fatimah. Yeah, buat yang tak pernah tahu tu.. samelah kita ^_^. Illa cuma mendengar tentang air selusuh ini apabila sudah berada di pertengahan kehamilan, itu pun selepas ditanya oleh teman satu pejabat.

Jujur Illa katakan, Illa bukan jenis yang mudah nak percaya petua yang seperti tidak relevan atau tidak logik. Macam-macam versi yang Illa dengar tentang air selusuh ini..dari yang elok hinggalah ke versi yang sangat menggelikan tekak sampai tak sanggup rasanya nak teringin berselusuh ni. Jadi Illa buat research banyak sedikit tentang selusuh Akar Fatimah ni, bertambah ilmu baru.

Asal Usul Akar Fatimah

Akar Fatimah atau Rumput Fatimah ialah sejenis tumbuhan semak yang berasal dari tanah Arab. Nama Latin dikenali sebagai Labisa pumila dan juga nama baratnya, Rose Of Jericho. Dalam bahasa Arab, ia juga dinamakan sebagai Kaf Maryam yang bermaksud tapak tangan Maryam. Oleh kerana popular dengan khasiatnya, tumbuhan ini pun merantau ke negara lain di Asia, termasuk Indonesia. Tak pasti kat Malaysia ade tak, tapi kat Indonesia dah diconfirm oleh bibik. Katanya ada orang tanam dan tumbuhan ni boleh hidup di sana. Rumput ini juga kadang-kadang digunakan sebagai salah satu bahan di dalam jamu buatan kampung. Kebiasaannya tujuan jamu itu untuk melancarkan perjalanan haid, menguruskan badan dan juga cirit birit. Ia sangat tahan disimpan walaupun berpuluh tahun, dan akan mekar kembali apabil direndam di dalam air.

Terdapat pelbagai kegunaan akar ini dan disebut juga sebagai tumbuhan sahabat wanita. Salah satu khasiat Akar Fatimah yang paling terkenal ialah ia membantu mempercepatkan proses bersalin bagi wanita. Hanya dengan meminum air rendaman Akar Fatimah, para ibu akan bersedia untuk bersalin kerana ia akan merangsang contraction pada dinding rahim.

Akar ini kebiasaannya akan direndam di dalam air suam (tidak boleh air panas), dan sedia untuk diminum atau disapu setelah akar tersebut mengembang.

Bagaimana ia membantu dalam proses bersalin?

Semuanya berbalik kepada sains. Setelah dikaji, akar ini mengandungi oxytocin iaitu hormon yang dihasilkan oleh tubuh untuk merangsang contraction di dalam rahim. Hormon ini boleh dikira hampir sama dengan ubat yang diberikan kepada ibu hamil yang kena induced untuk mempercepatkan proses bersalin.

Para doktor dan jururawat, sesetengahnya melarang keras ibu hamil untuk mengambil air selusuh ini kerana bimbang contraction yang kerap dan melampau sehingga menyebabkan rahim menipis. Risiko seperti pendarahan akibat contraction rahim sehingga pecahnya pembuluh darah dan stress otot. Ini boleh menyebabkan kesakitan yang melampau lebih lebih lagi apabila bukaan rahim belum mencapai 6cm dan ke atas!

Jadi, apa yang bahayanya?

Kandungan dos oxytocin yang dibebaskan oleh akar tersebut tidak dapat diukur. Akar ini dipakai dengan cara direndam dan airnya akan diminum. Ini berbeza dengan inducer  yang diberikan oleh pihak hospital mengikut dos yang bersesuaian, bermula dengan dos rendah. Akar ini pula semakin lama direndam, oxytocin yang terlarut pun semakin pekat. Jadi, bila dos oksitosin berlebihan, kontraksi yang berlaku sangat kerap dan sakit yang teramat sangat juga boleh membahayakan ibu dan anak.

Lebih dikhuatiri ialah apabila ibu mengandung sudah meminumnya dari rumah. Contraction yang semakin kuat tetapi bukaan rahim masih lagi belum terbuka sempurna. Sekiranya ibu tidak dapat bertahan dan terus meneran, besar kemungkinan rahim akan terkoyak. Pendarahan boleh berlaku dan ini sangat membahayakan ibu dan juga bayi dalam kandungan. Sekiranya diminum pada waktu bukaan yang hampir sempurna, mungkin dapat membantu mempercepatkan kelahiran.

Seeloknya, air rendaman ini hanya boleh diminum ketika sudah dekat waktu melahirkan (ketika bukaan rahim di atas 6 cm) bukannya ketika air ketuban pecah. Ibu yang pertama kali melahirkan anak akan mengalami masa yang agak lama untuk menunggu bukaan rahim sempurna. Sekiranya air tadi diminum setelah air ketuban pecah, bayangkan saja kesakitan yang akan dialami si ibu.

Nasihat Untuk Ibu

Walaupun air selusuh akar Fatimah ini dapat membantu proses bersalin, sebaiknya berhati-hatilah ketika hendak meminumnya. Sekiranya ibu ingin juga mengambilnya, pastikan akar tersebut direndam tidak terlalu lama. Lebih baik jika ibu mendapatkan nasihat doktor tentang perkara ini tapi jangan hairan pula jika doktor melarang kelak. Semuanya demi kebaikan ibu dan anak di dalam kandungan.

*****************************

Pengalaman sendiri dengan Akar Fatimah

Sewaktu mengandungkan Aisyah, Illa dah overdue seminggu dari tarikh yang sepatutnya. Pihak hospital memberikan Illa masa seminggu lagi kerana memang takde sebarang tanda langsung nak melahirkan. Jenuh juga memikirkan cara untuk mempercepatkan proses bersalin secara semulajadi, termasuklah meminum air selusuh.

Pada masa tu, Illa cuma meminta suami menyediakan air selusuh yang dibacakan ayat Al-Quran yang terdiri daripada doa dan zikir. Jadi suami pun buatla beberapa botol untuk Illa minum sepanjang hari. Kebetulan, nenek Illa datang melawat dan membawa Akar Fatimah kiriman makcik. Dia berpesan supaya akar tersebut direndam dan apabila akarnya kembang, bermakna Illa dah bersedia untuk melahirkan… (wallahua’lam…Illa tak tahu sejauh mana betulnya tips ni). Pesannya lagi, air rendaman boleh disapu ke perut dengan urutan ke bawah dan apabila masuk ke dalam labour room, bolehla minum air rendaman tu seteguk ke dua teguk ke..

Tapi, Illa tak minum pun air tu. Setelah buat kajian pasal air selusuh tu, lagi Illa taknak ambil risiko. Dahla anak pertama, sakit bersalin pun tak pernah rasa lagi. Huhu.. Untuk buat syarat, Illa pun rendam jugakla akar tu dan tunggu akar tu mengembang. Pastu Illa sapukan ke perut, dengan niat, Allah lebih mengetahui bila baby nak keluar ^_^.

Keesokan malamnya, Illa dah mula merasa sakit contraction semakin kerap. Sampai di hospital, bukaan dah 6 cm! Terus masuk labour room(LR). Suami sempat bawakan air zamzam buat bekal nak meneran tapi sayangnya, Illa dah tak dibenarkan minum atau makan apabila dalam LR. Sudahnya, air tu buat lap muka apabila penat menahan sakit je..dan curi-curi minum guna penutup botol..hehe.

Apabila bukaan dah 8 cm camtu, doktor tanya ada minum air selusuh tak. Tersentap jap rasa sebab tak sangka soalan tu akan ditanya, mungkin sebab dia tengok Illa macam sakit sangat kot. Rupa-rupanya ada ibu di LR sebelah sedang kesakitan yang luar biasa. Bila ditanya, ibu tu rupanya dah minum air selusuh akar Fatimah sejak dari rumah lagi. Doktor kelihatan agak bengang sebab risau kot.. bersungguh dia pesan supaya jangan memandai-mandai minum air selusuh tanpa nasihat doktor.

Alhamdulillah syukur sangat Illa tak minum air rendaman tu..

Kesimpulannya, air selusuh akar Fatimah ni cumalah 1 dalam 1000 lagi ikhtiar yang kita boleh buat. Terdapat banyak lagi cara lain yang boleh ibu praktikkan untuk mempercepatkan proses bersalin. Banyakkan bergerak di minggu akhir dan senaman naik turun tangga juga sangat membantu.

Semoga info di atas bermanfaat buat ibu-ibu yang ingin menjadikan selusuh akar Fatimah sebagai langkah mempercepatkan proses bersalin. Perkongsian di atas hanyalah sekadar nasihat ikhlas dari seorang ibu ke ibu yang lain.

Thank you for reading! =)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge