Kehamilan

Malas Nak Makan Vitamin Di Awal Trimester? Baca Jika Sayang Anak

Apabila disahkan hamil, cara terbaik untuk mendapatkan nutrien yang lengkap untuk kandungan dan ibunya adalah melalui diet yang sihat dan seimbang. Pada masa yang sama, supplemen vitamin diperlukan juga untuk menampung kekurangan zat yang diperlukan.

Semasa mengandung, setiap keperluan untuk sesetengah zat dan vitamin seorang ibu akan berubah. Contohnya seperti asid folik, kalsium, zat besi (iron) dan Vitamin D. Sebab tu, penting sangat untuk ibu mengambil vitamin tambahan untuk ibu hamil. Ini untuk memastikan kandungan dapat membesar dengan sempurna dan sihat.

Malahan, vitamin kehamilan (prenatal) boleh dikatakan WAJIB diambil oleh ibu-ibu yang sudah mencapai usia lanjut iaitu 40 tahun ke atas. Banyak risikonya kerana ibu itu sendiri kekurangan nutrien akibat faktor usia ( kekurangan kalsium etc. )

Supplemen Vitamin Bukan Untuk Menggantikan Diet Sihat

Orang seringkali salah faham akan fakta ini. Supplemen vitamin hanya untuk menampung dan menambahkan nutrien seharian ibu. Sangat berguna pada trimester pertama untuk ibu-ibu yang selalu loya, tak lalu makan atau tak mendapat diet yang sihat.

Apabila memasuki fasa kehamilan ni, banyak masalah yang boleh berlaku tak dijangka-jangka sedangkan kita rasa kita ni seorang yang sihat walafiat. Antaranya :

  1. Anemia ( kurang darah merah )
  2. Sakit tulang belakang
  3. Gusi berdarah
  4. Sembelit
  5. Kencing terlalu kerap/Jangkitan kuman pada pundi kencing
  6. Batuk, demam , selsema
  7. Stress
  8. GDM ( kencing manis semasa hamil )
  9. Kekejangan kaki
  10. Pendarahan
  11. Hidung berdarah
  12. .. dan banyak lagi masalah

Fungsi Setiap Vitamin Semasa Hamil Yang Wajib Ibu Tahu Dan Ingat

Wajib untuk ibu-ibu faham dan tahu kenapa setiap supplemen vitamin perlu diambil seperti yang dinasihatkan oleh doktor dan jururawat. Setiap vitamin tersebut mempunyai fungsi tersendiri dan membantu menangani masalah-masalah yang bakal dihadapi selama 40 minggu hamil.

Mari kita lihat senarai vitamin kehamilan yang penting untuk ibu.

Zat Besi (Iron)

Kesan Tidak Diambil : Pening, Pucat, Lesu, Anemia, Keguguran, Rambut gugur

Kebanyakan ibu akan mempunyai bacaan darah Hb yang rendah, terutamanya yang tidak menjaga diet sihat. Bacaan yang rendah dari 9.0 akan diberi priority oleh klinik kesihatan dan dipantau lebih kerap. Bila bacaan Hb rendah, kurang oksigen bakal diangkut kepada kandungan.

Kesannya, kandungan kekurangan oksigen dan boleh mati lemas. Ibu juga berisiko untuk pengsan, pucat lesu kerana kekurangan bekalan darah dan oksigen untuk diri sendiri.

Dapatkan pencerahan daripada doktor terlebih dahulu sekiranya masalah kekurangan Hb adalah disebabkan anemia atau Thalasemia. Pesakit Thalasemia tidak disyorkan untuk mengambil zat besi.

Asid Folik 

Kesan Tidak Diambil : masalah darah tak lancar, loya dan tidak lalu makan, janin tidak terbentuk dengan sempurna, terdedah dengan masalah spina bifida dan otak.

B Complex dan Asid Folik sangat penting diamalkan semasa merancang untuk hamil lagi. Ia bukan sahaja untuk kesihatan rahim malah membantu ibu bersedia apabila memasuki trimester pertama. Rahim kuat, hormon stabil insyaAllah kandungan akan lebih kuat dan tidak mudah gugur.

Paling penting untuk kandungan cukup bekalan vitamin ini kerana penting untuk tumbesaran. Ia dapat mengelakkan risiko penyakit di tulang belakang contohnya spina bifida.

Kalsium, Magnesium dan Vitamin D

Kesan Tidak Diambil : Sakit pinggang dan kaki, Sakit gigi, janin mempunyai masalah berkaitan dengan tulang dan gigi, Susah tidur, simptom berdebar-debar.

Apabila hamil, semuanya bakal berkongsi bersama anak dalam kandungan. Oksigen dalam darah, kalsium, zat-zat lain akan disalurkan kepada kandungan. Oleh itu, ibu juga kena berada dalam keadaan tiptop agar bekalan untuk ibu juga mencukupi.

Kalsium amat penting untuk ibu sepanjang kehamilan. Ia boleh membantu ibu berhadapan dengan masalah sakit gigi, gusi berdarah, sakit pinggang, dan sembelit. Vitamin D membantu penyerapan optimum kalsium di dalam badan supaya tiada masalah batu karang di kemudian hari. Magnesium pula bagus untuk otot ibu.

Pengalaman Illa Sepanjang Hamil

Illa dapat tahu tentang kehamilan apabila kandungan mencecah 2 bulan. Alhamdulillah, masa tu tiada simptom seperti muntah loya dan sebagainya, hanya sedikit mengantuk ketika bekerja di pejabat. Berdebar bila dapat tahu hamil kerana sebulan sebelumnya Illa pergi mengikuti suami berkursus di Hangzhou, China dan kami juga menyertai aktiviti-aktiviti luar dan mendaki bukit!

Syukurlah Illa sememangnya mengamalkan B Complex dan Asid Folik sebelum hamil lagi kerana Illa nak perbetulkan hormon dan menguatkan rahim. Sepanjang hamil semestinya Illa menggunakan Set Hamil Shaklee kerana sudah terbukti ia selamat dan berkesan kepada Illa sepanjang tempoh sebelum dan semasa hamil.

Semasa awal kehamilan, Illa ada masalah anemia yang dahsyat. Bacaan cuma 8.7 dan terus dilekatkan sticker merah kat buku. Kena pantau lerr… Setiap 2 minggu memang kena pergi klinik kesihatan. Nurse bagi Iron warna coklat tu, tapi sakit perut bila makan. Sembelit pula jadinya. Hampir 5 bulan, baru Hb naik selepas bertukar kepada Iberet 500mg tu.

Yang best sepanjang hamil, kenaikan berat sangat cantik. Mungkin sebab Illa cukup zat dan vitamin jadi kurang rasa craving dan sebagainya. Illa banyak makan buah, soya non GMO dan diet sihat. Alhamdulillah, Aisyah lahir pun sihat gebu gitu.. 3.39 kg haa semangat!

Harapan Illa, semoga ibu kat luar sana jangan sesekali culas makan vitamin ni. Ingatlah anak yang ditunggu-tunggu kehadirannya, jangan kita pula yang cuai. Dalam masa yang sama, jangan abaikan kesihatan kita. Kita kena sihat demi anak.

Salam sayang,

Illa

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge